Pages

Feed icon

Tuesday, 11 September 2012

Shah Iskandar Aktor ke-3 Setanding Aaron Aziz


                     11 September 2012- KELIBAT Shah Iskandar Mahfuz dalam industri seni tanah air masih baru tapi sudah ada yang mula memandang selepas beberapa drama rantaian lakonannya mula mendapat perhatian peminat drama tempatan.



Antara drama yang pernah menaikkan namanya ialah Nora Elena dan Atas Nama Cinta, sehinggakan penangan watak Ghaz Sulaiman dalam Atas Nama Cinta menjadi buah mulut peminat drama bersiri yang turut menampilkan Shahrizal Jaszle, Fiza Hamid dan Tasha Shila.


Tapi dek isu kebanjiran artis asing yang mula membina nama di sini menjadi topik hangat kalangan persatuan artis dan media, sesekali nama Shah Iskandar turut terkait. Apatah lagi, dia aktor ketiga dari Singapura selepas Aaron Aziz dan Adi Putra yang sudahpun membina landasan kukuh di sini. 


Walaupun masih baru, Shah tahu di mana bumi dipijak dan adat mencari rezeki di tempat orang.

Shah secara serius akui sebagai artis yang duduk di dalam kategori artis asing, dia perlu mengikut segala protokol yang sudah termaktub dalam undang-undang Malaysia.

“Seperti kita masuk ke rumah orang, takkan tiba-tiba saya nak pecahkan pinggan mangkuk dan rosakkan nama sendiri. Nak kata tertekan dengan apa yang berlaku, tipulah kalau tiada. 

“Tapi saya melihat pada tempoh masa mereka (Aaron dan Adi) berada di sini, mereka sudah berada dalam industri tempatan hampir 10 tahun. Nama mereka juga sudah cukup kuat untuk berdepan dengan situasi yang berlaku.


“Mereka ada anak-anak, isteri dan keluarga yang perlu difikirkan bila isu ini terjadi. Ya lah, cuba bayangkan bila isu kerakyatan dan bekerja di negara ini dipertikaikan sesetengah pihak, apa yang anak-anak mereka akan fikirkan dan anggap bila mendengar dan membaca mengenai kerja bapa mereka dipertikaikan?

“Saya pasti Aaron dan Adi mungkin tertekan. Walaupun kita sudah lakukan segalanya mengikut protokol dan prosedur yang sudah ditetapkan, orang akan tetap bercakap dan persoalkannya,” kata Shah serius sebaik saja ditembak soalan berkaitan.


Baginya sikap rendah diri dan menghormati undang-undang negara wajib ada dalam setiap rakyat asing yang berada di sini. Telahnya, jika mahu dihormati orang, kita perlu menghormati orang lain terlebih dahulu.

Pun begitu, dia bersyukur kerana sejak menapak di sini sekitar 2007, industri hiburan melayannya dengan sangat baik. Tidak hairanlah jejaka ini mengambil keputusan untuk menetap di sini.

“Saya sudah ambil keputusan untuk menetap di sini. Tidak dinafikan rezeki ada di mana-mana tapi jujurnya saya sudah selesa berada di sini. Industri (hiburan) banyak membuka peluang kepada saya untuk meneruskan bakat yang pernah dikongsi di Singapura dulu.


“Bukan tidak ada tawaran yang datang dari negara asal tapi kekangan masa dan tawaran berlakon di sini tidak pernah putus. Saya bukan jenis pelakon yang akan ambil tawaran demi tawaran dan jalan sekali gus. Saya mahu fokus pada satu-satu perkara,” kata Shah gembira yang sebelum ini lebih dikenali sebagai pengacara di negara kelahirannya.

Enggan memberi komen lebih lanjut mengenai isu yang masih 'panas', Shah masih berkira-kira untuk mencuba nasib dalam perfileman pula.


“Tawaran filem masih belum ada lagi. Mungkin belum masanya lagi atau rezeki itu datang kemudian selepas saya bekerja dengan lebih keras. Jika diberi peluang, saya ingin mendapat naskah yang mampu memberi impak kepada penonton.

“Ambil contoh filem Ombak Rindu atau Hantu Kak Limah Balik Rumah yang naskahnya begitu besar impak kepada masyarakat. Saya ada juga pergi ujibakat ke beberapa produksi filem yang mencari pelakon baru, cuma mungkin belum ada rezeki,” kata Shah rendah diri.

Ditemui pada pelancaran drama rantaian terbaru untuk slot Zehra di TV3 iaitu Runtun Qalbu, Shah teruja kerana dapat bekerja dengan beberapa nama besar dalam industri seperti Fasha Sandha, Kamal Adli dan Ahmad Idham.


Katanya, ini kali pertama dia beraksi di bawah seliaan pengarahan Ahmad Idham yang dianggap antara pengarah drama dan filem disegani dalam industri.

Drama 13 episod arahan Khalid Nazri terbitan Excellent Pictures bakal membuka tirai pada 21 September, setiap Jumaat jam 9 malam. Selain Shah Iskandar, Runtum Qalbu turut dibarisi Fasha Sandha, Kamal Adli, Fida Ibrahim, Shukri Yahya dan Reen Rahim.


Sinopsis:

Mengisahkan tentang Qalbu (Kamal Adli) yang bekerja sebagai penjaga bilik mayat  melalui satu penghijrahan dalam hidupnya dari hitam kepada seorang hamba yang taat. Namun, sejauh mana dia berubah dan lari dari kehidupan lamanya, semakin itu juga dia dekat dengan hakikat dan sejarah yang pernah dilaluinya sebelum itu.

Namun pada itu, Qalbu sentiasa menjadi perhatian jirannya, Idayu (Fasha) yang menyimpan perasaan terhadapnya. Tanpa memikirkan soal kerja Qalbu seorang penjaga bilik mayat dan personalitinya yang pelik, diam dan tidak mudah memandang mata orang, Idayu yang juga anak kepada pemandu teksi itu tetap menyukainya.

Qalbu suka berada di sebuah masjid yang akhirnya menemukannya dengan seorang gadis yang kerjanya mengajar kanak-kanak mengaji, Ustazah Fatihah (Fida).

Itulah minat Qalbu, namun tidak pernah mereka berbicara hinggalah takdir menemukan Qalbu kepada Kelabu lakonan pelakon muda, Shah Iskandar yang terbabit dalam kemalangan dan akhirnya dijaganya seperti keluarga sendiri.

Kronologi perkenalan Qalbu dan Ustazah Fatihah bermula di situ di mana Kelabu yang sering menjadi orang perantara. Sayangnya, Fatihah bukannya menaruh cinta kepada Qalbu, tapi Kelabu dan membuatkan keadaan itu sangat janggal.

Antara babak shah iskandar dalam Runtun Qalbu
*RS bukan sekadar khabar angin

2 comments:

Leeza said...

Suka gila dengan dia lepas tgk cerita "Atas Nama Cinta" =)

redspender said...

RS pun minat gila dgn ghaz sulaiman hehe

Post a Comment